Group 20

Anggaran Penuh Kos Bina Rumah 2022: 3 Pembahagian Kos dan Kira-kira

Membina rumah mengikut citarasa sendiri adalah impian ramai orang. Walaupun begitu, bila bercerita tentang proses membina rumah, masih banyak perkara yang tidak jelas.

  • Bagaimanakah prosesnya?
  • Apa yang perlu dinilai bila memilih kontraktor?
  • Undang-undang apa yang terlibat?
  • Berapakah kos yang diperlukan?

Kos adalah soalan yang sering ditanyakan kepada kami di Nasty Builders. Namun agak sukar untuk kami terus memberikan anggaran berapa jumlah kos pembinaan sebuah rumah. Banyak faktor yang perlu dipertimbangkan seperti penggunaan bahan, reka bentuk rumah, keluasan binaan dan hiasan dalaman.

Tetapi jangan bimbang, kami akan cuba terangkan sehabis baik supaya anda lebih jelas berapakah kos yang perlu dilaburkan bagi membina rumah impian anda.

Cari Tanah Sesuai

Dalam artikel ini kami dedahkan bagaimana syarikat pembinaan membuat kiraan yang akan menjadi sebut harga. Sama ada dengan membuat pinjaman bank atau bayar sendiri, inilah pembahagiannya. 

Kos penuh pembinaan rumah terbahagi kepada tiga fasa:

  • Kos sebelum rumah dibina
  • Kos semasa pembinaan rumah
  • Kos selepas rumah siap dibina. 

Penting untuk anda tahu bahawa anda tidak perlu membayar sekaligus, tetapi bayaran dibuat mengikut fasa.

Jumlah kos dikira berdasarkan keluasan kaki persegi binaan. Harganya sekitar RM200-RM500 kaki persegi bergantung kepada kos semasa bahan binaan dan kerumitan reka bentuk.

Sebagai contoh, jika keluasan binaan adalah 5,000 kaki persegi dan kontraktor memberikan harga RM200 kaki persegi. Maka jumlah kos pembinaan adalah 5,000 x RM200 = RM1,000,000.

Fasa Sebelum Rumah Dibina

6% Bayaran Reka Bentuk (Design Fee)

Sebelum apa-apa kontrak ditandatangani perkara pertama yang perlu anda lalui adalah sesi konsultasi dengan kontraktor.

Di bawah adalah pecahan bayaran 6% semasa fasa reka bentuk.

i) 10% Pengesahan Pelantikan (Confirmation of Appointment)

Perkara yang akan dibincangkan semasa konsultasi termasuklah lokasi rumah (pinggir bandar, bandar, pantai, hutan, tebing tinggi, dsb), bentuk rumah (moden, tradisional, kontemporary, fantasi, dsb) dan bahan binaan rumah (besi, kayu, bata merah, bata biasa).

Anggaran kos bahan juga akan dibincangkan. 

Selain itu, hal seperti elektrik dan air juga akan diambil kira jika rumah dibina di lokasi yang unik, seperti di pedalaman, pantai atau tebing tinggi. Perincian seperti reka bentuk dalaman, bilik tidur, dapur, tandas dan sebagainya juga akan dibincangkan semasa konsultasi.

Lakaran kasar akan dibuat semasa konsultasi mengikut idaman anda. 

Selepas anda berpuas hati dengan hasil konsultasi tersebut, bayaran perlu dibuat untuk mengesahkan pelantikan kontraktor pilihan. 

ii) 35% Reka Bentuk Akhir (Final Design)

Bayaran ini adalah untuk arkitek memulakan lakaran reka bentuk rumah anda secara terperinci.

Dimensi dan reka bentuk boleh dilihat, daripada ‘sub-structure’ atau binaan bawah tanah yang menjadi asas rumah, kepada ‘super-structure’ atau binaan atas tanah.

Isu seperti pencahayaan, jenis tanah, keadaan geografi seperti taburan hujan atau angin di kawasan rumah juga diambil kira selepas tinjauan tempat binaan dibuat untuk menghasilkan reka bentuk akhir. 

Pada peringkat ini anda masih boleh menyuarakan sebarang perubahan kecil. Contohnya penukaran jubin rumah, atap, pagar dan sebagainya.

iii) 30% Persetujuan dan Penyerahan (Agreement and Submission)

Setelah anda berpuas hati dengan reka bentuk akhir, bayaran 30% lagi akan dibuat untuk permohonan permit dan penyerahan pelan reka bentuk rumah kepada pejabat berkaitan seperti pejabat tanah, jabatan perancangan, jabatan bangunan dan jabatan kejuruteraan. 

Sebarang kos tambahan perlu dinyatakan pada peringkat ini bagi memudahkan kerja syarikat pembinaan. Kos tambahan yang lazim seperti lampu import, pagar elektrik, tangga pusing dan sebagainya.

iv) 25% Pembinaan Awal

Selesai penyerahan reka bentuk ke pejabat tanah (dan diluluskan), syarikat pembinaan akan mula dengan pembinaan awal. 

Pada peringkat ini syarikat pembinaan akan membuat pesanan bahan binaan, tapak binaan dibersihkan (tebang pokok, buang batu, ratakan tanah), penanda kawasan (marking), membuat jalan untuk mengalihkan bahan serta pembinaan rumah pekerja.

Fasa Pembinaan

80% Pembinaan (Construction)

Kos pembinaan terbahagi kepada 2 iaitu kos bahan dan kos buruh.

i) 50% Bahan

Separuh daripada kos pembinaan akan digunakan untuk membeli bahan. Bahan binaan rumah juga terbahagi kepada 2. 

a) Teras (core): Simen, batu bata, kayu, besi dan sebagainya. Harga bahan mengikut harga pasaran. 

b) Kemasan (detailing): Jubin, jenis bumbung, lampu, paip, mangkuk tandas, sinki, cat… akan dibeli mengikut citarasa anda. 

Anda ada kebebasan membeli sendiri bahan kemasan atau serahkan sahaja sepenuhnya kepada syarikat pembinaan.

Informasi tambahan: Walaupun anda bebas membeli bahan kemasan sendiri, kontraktor lazimnya sudah ada pembekal mereka untuk bahan tertentu dan boleh dapatkan harga yang lebih murah. 

ii) 50% Buruh

Separuh lagi kos pembinaan akan digunakan untuk membayar buruh. 

Fasa pembinaan terbahagi kepada 2.

a) Sub-structure (Binaan bawah tanah):
  • Foundation, tapak rumah yang kukuh 
  • Piling, tiang rumah yang kuat 
  • Air untuk kegunaan pekerja
  • Elektrik untuk kegunaan pembinaan
b) Super-structure (Binaan atas tanah):
  • Lantai rumah
  • Dinding
  • Bilik-bilik
  • Atap
  • Air
  • Elektrik

Pembinaan ada garis masa (timeline) tersendiri yang perlu dipatuhi syarikat pembinaan dan kontraktor.

Jika anda membuat pinjaman, cara pembayarannya lebih kurang sama dengan pembayaran rumah dalam pembinaan yang dibeli dengan pemaju.

Dari semasa ke semasa, wakil dari bank akan memeriksa kemajuan binaan rumah. Bayaran yang anda buat kepada bank akan diberi secara berperingkat kepada syarikat pembinaan untuk menjalankan aktiviti pembinaan. 

Informasi tambahan: Bayaran bulanan anda akan meningkat mengikut kemajuan pembinaan.

Fasa Selepas Rumah Siap Dibina

10-15% Pengekalan (Retention)

Rumah siap! Kini anda dah boleh pindah masuk ke rumah idaman. 

2 minggu pertama berlalu dengan aman, tetapi pada minggu ke-3 bumbung bocor! 

Jangan risau, syarikat pembinaan akan gunakan 10-15% bayaran untuk pengekalan (retention) dan baiki bumbung rumah anda. 

Jaminan pengekalan (warranty retention) adalah selama 6 bulan. 

Hal yang mungkin berlaku seperti pagar elektrik berkarat, cat tanggal, jubin pecah dan lain-lain kecacatan kecil akan dibaiki sepenuhnya oleh syarikat pembinaan. 

Rajah dibawah adalah contoh kos pembinaan rumah bernilai RM1,500,000.

kos bina rumah - proposal untuk kos rumah bernilai RM1.5 juta

Penutup

Sekarang anda sudah jelas tentang pecahan kos pembinaan rumah. Anda sudah boleh membuat anggaran kasar dan bersedia jika ingin membina rumah.

Tetapi , kami mahu untuk mengingatkan bahawa kos penuh membina rumah akan berbeza mengikut jenis rumah. 

Harga rumah banglo dan teres berbeza. Harga reka bentuk rumah tradisional dan moden berbeza. Harga bina rumah di Selangor dan Perak berbeza. Harga rumah di Banting, Selangor dan di Shah Alam, Selangor juga berbeza. 

Banyak faktor yang perlu dipertimbangkan. Apa yang kami terangkan dalam artikel ini adalah kos pembinaan sahaja, tidak termasuk kos tanah.

Kami di Nasty Builders bersedia membantu anda membina rumah idaman. Untuk dapatkan anggaran kos yang lebih tepat, klik butang di bawah untuk sesi konsultasi.

You May Also Like
× Available on SundayMondayTuesdayWednesdayThursdayFridaySaturday